Sunday, 15 June 2014

Sejarah Bahasa Arab (Siri 2)

Assalamualaikum Kawan-kawan.... Meh Kita Sambung Subjek...


Sejarah Asal Bahasa Arab
Bahasa Arab berasal daripada rumpun bahasa Samiyah yang dinisbahkan kepada keturunan Sam anak Nabi Nuh. Mereka terbahagi kepada tiga golongan. Pertama, golongan Bayidah yang terdiri daripada kabilah Cad, Thamad, Tasm, Jadas, Umaym dan Jurhum. Golongan kedua pula ialah Caribah yang dinisbahkan kepada Yacrab bin Qahtan. Seterusnya pula ialah golongan Mustacribah yang berketurunan Nabi Ismail dan mereka menetap di Hijaz pada abad ke-19 sebelum Masihi.
Bahasa Arab merupakan salah satu daripada tiga bahasa utama yang memainkan peranan penting dalam sejarah peradaban manusia. Pengkaji sejarah telah menambah dua lagi bahasa menjadikan kesemuanya lima bahasa utama yang telah memberi sumbangan besar dalam sejarah perkembangan tamadun manusia. Bahasa-bahasa tersebut ialah bahasa Cina Kuno, bahasa Sanskrit, bahasa Latin, bahasa Greek dan bahasa Arab.
Walau bagaimanapun, hanya bahasa Arab yang masih digunakan dan terus berkembang sehingga kini. Berdasarkan kenyataan ini bolehlah dikatakan bahawa bahasa Arab mempunyai ciri-ciri istimewa yang membolehkan ia bertahan. Pengkaji-pengkaji bahasa masih terus berusaha menyelidik potensi bahasa tersebut. Antara ciri-ciri istimewa bahasa Arab ialah ia telah dipilih Allah sebagai bahasa rasmi al-Quran yang merupakan pedoman asas untuk kehidupan di dunia dan di akhirat. Ini dijelaskan dalam surah Yusuf ayat kedua:   

Terjemahan:
Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa al-Quran dengan berbahasa Arab, agar kamu menggunakan akal (untuk memahaminya).

Pemilihan bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran telah memberikan jaminan terhadap keunggulan bahasa itu. Maksudnya, selagi agama Islam atau al-Quran masih wujud di muka bumi, selagi itulah bahasa Arab akan tetap berkembang. Ini dijelaskan dalam surah aI-Hijr ayat sembilan yang bermaksud: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Zikr (al-Quran), dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.
Pemilihan bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran merupakan satu keistimewaan bagi bahasa tersebut kerana ia dapat mengangkat martabat bahasa Arab. Seandainya al-Quran dan hadis bukan dalam bahasa Arab, maka bahasa Arab tidak mempunyai keistimewaan dan kemungkinan besar sudah hilang ditelan zaman seperti bahasa-bahasa kuno yang lain.
Oleh kerana pemilihan bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran dilakukan oleh Yang Maha Mengetahui, maka sudah tentu bahasa itu ada kriteria istimewa yang tidak terdapat dalam bahasa lain. Sehubungan itu satu kajian mendalam tentang ciri-ciri keistimewaan bahasa Arab yang membolehkannya menjadi bahasa pilihan al-Quran dan hadis perlu dilakukan.
Antara peranan bahasa Arab yang penting ialah membantu perkembangan tamadun peradaban kuno yang lain seperti Yunani, Greek, Parsi dan Hindu. Kemudian bahasa Arab tersebar ke Barat pada Zaman Pencerahan (Renaissance) melalui pusat kebudayaan Islam seperti di Baghdad (Iraq), Kaherah (Mesir), Fes (Maghribi) dan Granada (Sepanyol).

Zaman keemasan bahasa Arab bermula pada abad ke-4 hingga abad ke-17. Ketika itu ia digunakan sebagai bahasa ilmu pengetahuan dan teknologi antarabangsa. Pada abad tersebut, ekonomi, politik dan ilmu pengetahuan bangsa Arab yang beragama Islam paling unggul sehingga disebut sebagai pembuka aspirasi kepada semangat zaman moden. 


Ada Lagi tau.... Sat Gi Kami Post.. Post Yang Akan Datang Le..

No comments:

Post a Comment