Thursday, 19 June 2014

Bahasa Asing........



Pentingkah???

Secara am penduduk di negara ini mampu berbahasa lebih daripada satu bahasa yakni bahasa ibunda mereka sama ada bahasa Mandarin, Melayu, Tamil, Inggeris dan Arab. Namun masih ada segelintir pihak yang menganggap penguasaan bahasa lain sebagai satu tindakan yang mampu mengikis penggunaan bahasa kebangsaan kita terutama bahasa Melayu. Pelbagai komen telah diberikan oleh golongan ini menerusi media massa sehingga menjadikan isu ini satu perbualan hangat. Sebenarnya, penguasaan bahasa lain dalam kehidupan seseorang itu mampu menjadikan diri mereka lebih baik lagi kerana jauhari juga yang mengenal manikam.

Kelebihan utama yang diterima oleh individu yang mahir lebih daripada satu bahasa ialah mereka lebih mudah untuk memperoleh sesuatu pekerjaan itu. Dalam dunia yang penuh persaingan ini mereka yang mempunyai kelebihan daripada aspek bahasa ini memiliki kelebihan yang diimpikan oleh banyak majikan kerana urusan perniagaan mengatasi batas-batas bahasa dan negara. Majikan lebih mudah menerima individu yang tahu berbahasa asing kerana mereka boleh digunakan untuk menguruskan urusan perniagaan syarikat yang melibatkan penggunaan bahasa asing tersebut. Oleh itu, berbahasa lebih daripada satu memudahkan seseorang itu memperoleh kerja dalam dunia moden ini.

Bukan sahaja mampu memperoleh kerja dengan mudah tetapi mereka yang mampu berbahasa asing juga memiliki kendiri diri yang lebih kukuh atau mantap. Keyakinan diri mereka bertambah-tambah kerana sedar mereka memiliki kelebihan yang jarang dimiliki oleh mana-mana individu pun. Keserlahan kelebihan inilah yang menjadikan mereka lebih yakin dalam menjalankan sesuatu urusan baik yang berunsur profesional mahupun peribadi. Sesungguhnya, mereka yang mampu berbahasa asing ini memiliki keperibadian yang lebih menarik kerana tahap keyakinan diri mereka begitu tinggi.

Malah, mereka yang menguasai bahasa asing mampu meningkatkan tahap informasi mereka terutama dalam bidang-bidang yang baru di sesebuah negara itu. Biasanya sesuatu maklumat atau buku tentang sesuatu bidang itu ditulis dalam bahasa asing terutamanya bahasa Arab dan Inggeris kerana bahasa itu dianggap bahasa pendidikan dunia.

Mereka yang tahu berbahasa Arab dan Inggeris sudah pasti mampu mengetahui sesuatu maklumat itu lebih awal kerana proses terjemahan bahan tersebut ke bahasa ibunda mungkin mengambil sedikit masa. Jadi, kelebihan berbahasa asing menjadikan pengetahuan informasi seseorang itu lebih baik berbanding individu yang hanya mengetahui satu bahasa sahaja.

Malahan, mereka yang menguasai bahasa asing turut menjadikan diri mereka lebih mudah untuk meneroka pelbagai prospek dalam kehidupan mereka. Maksudnya, mereka yang mengetahui bahasa asing boleh menggunakan kelebihan bahasa itu di dalam negaranya sendiri atau berhijrah ke negara bahasa asing itu tanpa mempunyaisebarang kerumitan hidup. Kelebihan menguasai bahasa asing menjadikan diri seseorang itu lebih “terbuka” kepada sebarang perubahan lalu menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam menghadapi sebarang masalah yang berlaku berbeza jika mereka hanya mengetahui bahasa ibunda sahaja. Sesungguhnya, penguasaan bahasa asing memberikan kepelbagaian warna kepada kehidupan seseorang itu lalu mampu meneroka sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh mereka yang hanya memiliki kemahiran satu bahasa.

Kesimpulannya, penguasaan bahasa asing membawa pelbagai impak positif kepada seseorang itu terutama golongan remaja. Kita hendaklah memberikan sokongan dan galakan agar ahli masyarakat kita memandang kemampuan menguasai bahasa asing ini sesuatu yang unik dan bukannya sesuatu yang membebankan. Kalau semua ahli masyarakat kita mengetahui pelbagai bahasa sudah pasti imej negara ini akan bertambah tinggi pada mata masyarakat luar. Seperti kata orang tua, bahasa melambangkan budaya masyarakat itu.

Penguasaan Pelbagai Bahasa


KEBAIKAN MENGUASAI PELBAGAI BAHASA

Bahasa merupakan alat yang digunakan oleh masyarakat untuk berhubung sejak zaman dahulu lagi. Dalam mendepani era globalisasi ini,kemampuan menguasai dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa merupakan suatu kelebihan kepada seseorang. Lantaran itu, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) misalnya, memberikan peluang kepada  para pelajar untuk mempelajari lima bahasa antarabangsa iaitu, bahasa Peranchis, Jerman, Jepun, Cina dan Arab melalui pembelajaran bahasa antarabangsa. Tanpa kemampuan dan kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa, agak sukar seseorang untuk berkomunikasi khususnya dengan individu yang berlainan bangsa. Oleh itu, banyak kepentingan akan diperoleh oleh seseorang dengan menguasai pelbagai bahasa lain selain bahasa ibunda.
           
Kebaikan pertama menguasai pelbagai bahasa ialah seseorang lebih mudah untuk berhubung atau berkomunikasi dengan orang lain. Hal ini demikian kerana seseorang akan lebih berkeyakinan untuk bersemuka dengan sesiapa sahaja. Sebagai contoh, dengan menguasai bahasa Inggeris, seseorang boleh memberitahu tempat-tempat menarik serta keistimewaan yang terdapat di negara kita kepada pelancong yang datang ke negara kita.  Faedah daripada itu, para pelancong berasa lebih dihargai malah  akan lebih tertarik untuk berkunjung ke negara kita. Seseorang juga akan lebih memahami psikologi serta penutur jati individu tertentu. Sebaliknya, tanpa menguasai pelbagai bahasa seseorang sukar untuk menolong walaupun masih mempunyai niat untuk membantu. Impak daripada itu, para pelancong akan berfikiran negatif dan berkemungkinan menganggap kita tidak peramah dan bersikap sombong. Jelas bahawa, dengan menguasai pelbagai kita mudah berkomunikasi dengan lebih berkesan untuk bertukar fikiran serta maklumat antara satu sama lain.
           
Selain itu, dengan menguasai pelbagai bahasa seseorang lebih mudah untuk memperoleh ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana pelbagai ilmu pengetahuan yang terdapat di dunia ini ditulis dalam pelbagai bahasa, khususnya bahasa Inggeris yang menjadi bahasa utama dunia. Dengan memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan seseorang akan lebih dihormati, dipandang tinggi serta tidak dianggap bagai katak di bawah tempurung. Sebagai contoh, untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang agama Islam seseorang wajib menguasai bahasa Arab yang merupakan bahasa kitab suci Al-Quran. Sementara itu, bagi golongan pelajar mereka lebih mudah untuk membuat rujukan sama ada melalui buku-buku atau Internet. Kemahiran menguasai bahasa Inggeris misalnya, sering kali menjadi halangan kepada pelajar Bumiputera di pusat pengajian tinggi untuk menghasilkan kajian serta bahan ilmiah yang berkualiti. Tegasnya, memiliki kemahiran bahasa Inggeris yang baik sama ada mendengar, bercakap, membaca atau menulis adalah amat perlu sejajar dengan usaha kerajaan Malaysia membangunkan modal insan di negara ini.

          Seterusnya, seseorang lebih mudah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, baik di pusat pengajian tinggi awam atau swasta. Tambahan lagi kemampuan menguasai dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa menjadi semakin penting sekiranya seseorang hendak melanjutkan pelajaran ke luar negara. Hal ini demikian kerana hampir semua pusat pengajian tinggi menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran kerana kekuatannya sebagai bahasa komunikasi masyarakat dunia. Hal ini dikukuhkan lagi apabila seseorang ingin melanjutkan pelajaran di negara-negara maju seperti Jepun dan Peranchis yang menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri sebagai bahasa pengantar utama. Tamsilnya, untuk melanjutkan pelajaran di negeri matahari terbit, Jepun pelajar perlulah mengikuti kurusus untuk menguasai bahasa Jepun terlebih dahulu sebagai pakej untuk terpilih untuk mengikuti pengajian di sana. Jelas terbukti bahawa penguasaan pelbagai bahasa memberikan kemudahan kepada setiap orang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di samping mudah untuk memahami budaya dan gaya hidup sesuatu masyarakat yang ditemui. 
           
Akhir sekali, tidak dapat dinafikan bahawa dengan menguasai pelbagai bahasa seseorang lebih mudah untuk memperoleh peluang pekerjaan. Hal ini disebabkan seseorang pekerja yang berkemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa dianggap mempunyai banyak kelebihan serta keistimewaan kerana mampu bertutur dengan pelbagai pihak. Sebagai contoh, di Malaysia seseorang yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Mandarin memiliki ciri-ciri pekerja yang digemari dan disukai majikan kerana masyarakat majmuk yang terdapat di negara kita. Di samping itu, dengan menguasai pelbagai bahasa membolehkan seseorang itu, menceburkan diri dalam bidang penterjemahan atau jurubahasa dalam bidang kehakiman dan juga sektor pelancongan. Bidang terjemahan dikatakan mempunyai masa depan yang cerah kerana mempunyai permintaan yang tinggi.  Begitu juga dalam bidang pelancongan yang amat memerlukan khidmat pemandu pelancong asing yang boleh menguasai bahasa asing. Sesungguhnya, penguasaan pelbagai bahasa dan kemahiran berkomunikasi menjadi suatu kriteria dan pertimbangan utama majikan dalam memilih ciri pekerja yang berkualiti.

Intihanya, langkah Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan subjek bahasa tambahan di peringkat sekolah perlulah dipuji bagi memperkasakan lagi modal insan yang bakal dilahirkan. Oleh itu, semua pihak khususnya ibu bapa bukan sahaja perlu menerimanya secara positif malahan memberikan sokongan tanpa wujud perasaan berbelah bahagi. Semua individu khususnya golongan pelajar perlulah merebut peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan kerana kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa akan memberikan nilai tambah sekali gus menyediakan masyarakat yang mampu duduk sama rendah berdiri sama tinggi untuk bersaing di peringkat global. Justeru, tepuk dada tanya selera, adakah kita ingin menjadi individu yang hanya memahami bahasa ibunda atau mampu menguasai pelbagai bahasa yang pastinya memberikan kelebihan kepada kita kelak.

Sunday, 15 June 2014

Potensi Penterjemah

Assalamualaikun buat sahabat-sahabat yang sudi menjelajah blog kami. Entri kali ini berkisar tentang potensi seorang penterjemah. Di sini kami lampirkan keratan akhbar hasil temubual dengan Jurina Pieei iaitu seorang Penyelaras Bahagian Terjemahan di Institut Terjemahan Negara Malaysia. Tingginya Nilai Seorang Penterjemah ini trademark kami untuk post La Ni (sekarang)...

Potensi Penterjemah
16 Sep 2010 - Berita Harian
Oleh Khairina Yasin

Kerjaya penterjemah kini semakin penting dan amat diperlukan dalam pelbagai bidang berikutan kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi masa kini. Sama ada istilah saintifik, teknologi, kesusasteraan, bahasa atau perdagangan, tugas penterjemah diperlukan dalam semua bidang terbabit yang mana pengetahuan dan kelulusan pelbagai bahasa menjadi modal penting bagi memasuki kerjaya itu.

     Hakikat itu diakui penterjemah, Jurina Pieei yang mendedahkan antara cabaran sebagai penterjemah ialah mereka perlu berani mencabar diri sendiri untuk mendapatkan makna dan ayat paling tepat untuk tatapan pembaca.Katanya, penterjemah juga perlu menguasai kedua-dua bahasa yang diterjemah iaitu bahasa sumber dan bahasa terjemahan (bahasa sasaran).

     “Maknanya, jika kita mahu menterjemah karya sastera bahasa Inggeris ke bahasa Korea, kita perlu pakar dalam kedua-dua bahasa itu. Setiap teks yang ingin diterjemah perlu dibaca dan dibuat analisis teks terlebih dulu termasuk memahami gaya bahasa dan konsep, perkataan sukar sebelum kerja terjemahan bermula".

     “Sebaiknya kerja penyelidikan dilakukan jika terdapat perkataan yang sukar difahami atau ada sebarang penggunaan peribahasa yang memerlukan kita mencari padanan yang terbaik demi memastikan maksud karya asal dapat disampaikan,” katanya.Jurina yang juga Penyelaras Bahagian Terjemahan di Institut Terjemahan Negara Malaysia berkata, penterjemah bukan saja perlu menguasai ilmu, tetapi disokong oleh minat kerana terjemahan memerlukan sikap dedikasi tinggi untuk mengkaji teks dengan teliti serta cermat.
Selain kelebihan menguasai bahasa, bidang itu mampu menghasilkan pulangan lumayan kerana terjemahan tidak terhad kepada karya ilmu, malah boleh dikembangkan untuk industri lain seperti penyiaran dan undang-undang.“Penterjemah boleh meneroka penterjemahan dokumen undang-undang, perniagaan, laman web, program penyiaran selain menjadi jurubahasa bagi persidangan pelbagai bahasa atau pengiring perniagaan diplomatik,” katanya.

     Menceritakan mengenai bidang penterjemahan di Malaysia, Jurina berkata, tidak keterlaluan jika dikatakan bidang itu masih kurang mendapat perhatian sedangkan terjemahan memberi impak besar.Katanya, kebanyakan penterjemah menjadikannya sebagai kerja sampingan berbanding meletakkannya sebagai profesion penuh.Bagaimanapun, beliau yakin dengan perkembangan kerjaya itu pada masa depan apabila wujud institusi pengajian tinggi menawarkan program penterjemahan yang mampu melahirkan kumpulan penterjemah hebat suatu masa nanti.Mengenai risiko dalam penterjemahan, Jurina kata, terdapat sesetengah karya terjemahan gagal mendapat sambutan atau menarik minat pembaca kerana kegagalan penterjemah sendiri menghasilkan yang terbaik atau mereka ingin menghabiskan kerja dengan cepat dan membuat tuntutan.

Sejarah Bahasa Arab (Siri 5) (Kepulauan Melayu)

Sejarah Bahasa Arab di Kepulauan Melayu
TARIKH kedatangan bahasa Arab ke kepulauan Melayu secara umum dan ke Malaysia secara khusus masih belum dapat dipastikan dengan tepat. Walau bagaimanapun, oleh kerana bahasa Arab adalah bahasa al-Quran dan al-Hadis yang menjadi sumber perundangan Islam, tarikh kedatangannya tidaklah sukar ditentukan jika ia dihubungkaitkan dengan tarikh kedatangan Islam.Kedatangan Islam bermakna kedatangan bahasa Arab kerana kedua-duanya tidak dapat dipisahkan. Bahkan kedua-duanya saling melengkapi antara satu sama lain. Islam tidak akan dapat disebarkan tanpa bahasa Arab sebagai perantaraan. Tanpa Islam sebagai isi kandungan, bahasa Arab berkemungkinan besar tidak membawa apa-apa erti dan tidak akan berkembang seperti sekarang.

Sebenarnya, pelbagai teori kedatangan Islam ke alam Melayu telah dikemukakan dan dibincangkan secara panjang lebar oleh sarjana tempatan dan sarjana Barat. Perbezaan antara teori tersebut adalah berkaitan dengan tarikh, daerah dan faktor kedatangannya.Secara umumnya terdapat tiga teori utama tentang bagaimana cara kedatangan Islam dan tarikhnya iaitu sama ada melalui pedagang dan mubaligh Arab atau pedagang India atau pedagang Cina.

Fatimi S.Q. berpendapat kedatangan Islam ke Tanah Melayu adalah secara berperingkat-peringkat. Hubungan paling awal ini dianggarkan bermula pada tahun 671 Masihi iaitu pada abad ke-7 Masehi.Hamka pula menyatakan bahawa ahli sejarah Sir Thomas Arnold mengandaikan kedatangan Islam ke Tanah Melayu adalah pada abad pertama Hijrah berdasarkan wujud hubungan perdagangan antara saudagar-saudagar Arab dengan Kanton dan Ceylon.

Sacad Syukri pada tahun 1971 berpendapat bahawa Islam telah bertapak di kepulauan Melayu sebelum tahun 1188 yang bersamaan tahun 577 Hijrah. Ini berikutan penemuan wang siling dalam bentuk tulisan al-Mutawakkil dan al-Julus Kelantan pada tahun tersebut yang menunjukkan bahawa pemerintahan Islam telah wujud di bawah kepimpinan al-Mutawakkil. Menurut Wan Husain Azmi, orang Arab telah mengenali Tanah Melayu sejak zaman kerajaan Bani Umayyah (dari tahun 661 sehingga tahun 679, iaitu pada zaman pemerintahan Muawiyyah Abi Sufyan). Kerajaan Bani Umayyah dikatakan telah merancang untuk menghantar armadanya ke Tanah Melayu pada tahun 674.

Namun rancangan tersebut terpaksa dibatalkan apabila mengetahui Tanah Melayu diperintah oleh raja yang adil. Walau bagaimanapun rombongan perdagangan Arab telah datang ke Tanah Melayu dan membuat hubungan dengan orang Melayu pada kurun ke-7 iaitu pada 674 kerana sudah terjalinnya hubungan perniagaan orang Arab dengan orang China dan orang India. Sehubungan itu terdapat kemungkinan bahawa perkataan 'Melaka' adalah berasal daripada perkataan Arab iaitu 'Mulq?' atau 'Multaq?' yang bermakna tempat pertemuan. Ada ahli sejarah lain pula menyatakan pendapat yang paling berasas iaitu melalui pedagang Arab secara langsung semenjak kurun pertama hijrah lagi iaitu sekitar abad ke-7 dan ke-8. Pandangan beliau disokong oleh sarjana tempatan yang telah menetapkan tarikh kedatangannya pada sekitar abad ke-7, 8 dan ke-9. 

Namun kebanyakan sarjana Barat lebih cenderung melewatkan tarikh kedatangan tersebut, iaitu pada abad ke-13 berdasarkan catatan Dinasti Yuan di China dan laporan pengembaraan Marco Polo. Antara sarjana Barat tersebut ialah D.G. Hall yang mengandaikan kedatangan tersebut adalah pada abad ke-15.Dalam konteks Tanah Melayu, seperti halnya dengan peringkat lain alam Melayu, sarjana tempatan dan sarjana Barat telah memberikan tarikh yang jauh berbeza. Menurut Syed Muhammad Naguib al-Attas, tarikh yang tercatat pada batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu, iaitu 4 Rejab 702 Hijrah yang bersamaan dengan 22 Februari 1303 menjadi bukti kedatangan Islam ke Tanah Melayu adalah pada abad ke-14 atau lebih awal daripada itu.

Seterusnya Abdul Rahman Abdullah pada 1990 berpendapat Islam sampai ke Tanah Melayu pada tahun 30 Hijrah iaitu pada zaman Khalifah Uthman Affan (644-656 Masihi).  Berdasarkan perbincangan di atas, perbezaan pendapat hanyalah berkisar tentang tarikh, daerah dan faktor kedatangan Islam. Suatu hal yang pasti ialah kedatangan Islam ke kepulauan Melayu bermakna kedatangan bahasa Arab ke kepulauan Melayu dan penerimaan Islam oleh orang Melayu bermakna penerimaan istilah-istilah bahasa Arab telah diterima pakai oleh orang Melayu.Masyarakat Melayu ketika itu secara umumnya mudah menerima istilah-istilah Arab dalam kehidupan seharian mereka. Sehubungan itu kita berasa yakin untuk menggunakan faktor ini sebagai asas kukuh dalam pembelajaran bahasa Arab di Malaysia.

Secara teorinya, jika perbendaharaan kata dan istilah Arab mudah diterima, diguna pakai dan dijadikan sebagai sebahagian daripada bahasa Melayu sejak berzaman maka sudah tentu masyarakat Melayu sekarang ini mudah untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab.

TeNtaNgSeJaRAh....NiyAnGTerakhIr..SAlaM.

Sejarah Bahasa Arab (Siri 4)

BAHASA TERAWAL ORANG SAMIYYAH
Para penyelidik bukan sahaja berselisih pendapat mengenai penempatan terawal bagi orang-orang Samiyyah seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, malah mereka juga berselisih pandangan dalam menentukan bahasa terawal yang dituturkan oleh orang Samiyyah. Tiga pandangan utama sarjana bahasa mengenai bahasa terawal bagi orang Samiyyah ialah: 

i. Setengah penyelidik berpendapat bahawa bahasa terawal yang dituturkan oleh orang Samiyyah ialah bahasa lbri. lni kerana bahasa lbri di anggap sebagai bahasa yang terawal bagi bahasa-bahasa dunia (Rajiy Akmal 1972). Pendapat ini sebenarnya telah diutarakan oleh orang-orang Yahudi yang mendapat sokongan dari ahli bahasa dan pengkaji etimologi Arab (lmil Badi' Ya'qub 1986).

ii. Sebahagian ahli bahasa Arab berpendapat bahawa bahasa terawal yang dituturkan oleh orang Samiyyah ialah bahasa Arab Kuno (al' arabiyyah al-qadimah). Antara ahli bahasa terkemuka yang bersetuju dengan pandangan ini ialah Olshausen, seorang sarjana lnggeris. Namun begitu, pandangan ini telah mendapat tentangan dan kritikan hebat terutamanya di kalangan beberapa pengkaji bahasa di Barat. Seorang orientalis barat mengatakan bahawa orang Samiyyah itu tinggal dan menetap di pelbagai tempat dan kawasan. Mustahil mereka bertutur dalam satu bahasa, iaitu bahasa Arab. Ali Abd Wahid Wafi berpendapat adalah tidak mustahil orang-orang Samiyyah bertutur dalam satu bahasa walaupun mereka sering berpindah-randah. lni kerana, mereka berpindah ke kawasan yang baru yang masih di dalam lingkungan semenanjung tanah Arab. Oleh itu sudah tentulah bahasa yang digunakan untuk berkomunikasi masih tidak berubah. Ahmad Muhd. Qaddur menyatakan bahawa terdapat persamaan ciri-ciri bahasa yang dituturkan oleh orang Samiyyah dengan bahasa Arab Kuno (al- 'arabiyyah alqadimah) seperti berikut:
a. Terdapat persamaan dari sudut fonetik antara bahasa pertuturan orang Samiyyah dengan bahasa Arab. Lni kerana bahasa Samiyyah menekankan bunyi huruf yang keluar dari rongga halkum seperti (al- 'ain, al-ghain, al-ha', al-ha' dan al-hamzah). Huruf-huruf ini juga terdapat dalam bahasa Arab.
b. Terdapat bunyi huruf yang tebal dalam bahasa Semit iaitu al-sad (ص), al-dad (ض), al-ta'(ط) dan al-za' (ظ). Huruf-huruf tebal ini juga terdapat dalam bahasa Arab.
c. Bahasa Semit merujuk kepada asal perkataan 3 huruf (thulathiy). Sistem ini juga terdapat dalam bahasa Arab yang menekankan kata kerja itu dari 3 huruf.
d. Bahasa Semit menekankan sistem infleksi (i 'rab) sarna ada dengan ai-raJa: al-nasab dan al-jarr. Sistern infleksi ini juga banyak ditekankan dalam kaedah bahasa Arab (Ahmad Muhammad Qaddur 1993).

iii. Pendapat ketiga pula berpandangan bahawa bahawa bahasa Assyuria dan Babylonia adalah bahasa terawal yang dituturkan oleh orang Samiyyah. Pendapat ini telah dikritik oleh ahli bahasa dan filologi Arab yang berpendapat bahawa walaupun terdapat beberapa perkataan yang sarna antara bahasa Semit dan bahasa Assyuria atau Babylonia, namun ia tidak begitu ketara dan hanya terdapat pada beberapa contoh perkataan sahaja dan ia tidaklah boleh dijadikan hipotesis yang kukuh pada mengatakan bahasa Assyuria dan Babylonia merupakan bahasa terawal yang dituturkan oleh orang Samiyyah.


Daripada beberapa pandangan yang diutarakan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa bahasa terawal yang digunakan oleh orang-orang Samiyyah adalah bahasa Arab Kuno. Ini memandangkan bahawa penempatan yang terawal bagi orang-orang Samiyyah adalah di semenanjung Arab yang kebanyakannya berasal dati Yaman. Dari Yaman inilah orang-orang Samiyyah berpecah ke beberapa negara yang lain seperti Iraq, Mesir, Syam dan selainnya. Ini ditambah lagi dengan pandangan beberapa orang ahli filologi Arab seperti Imil Badi' Ya'qub, Ali Abd al-Wahid Wafiy, Ahmad Muhd Qaddur dan beberapa orang orientalis yang lain berpandangan bahawa bahasa terawal yang dituturkan oleh orang-orang Samiyyah adalah bahasa Arab (bahasa Arab kuno).

Sejarah Bahasa Arab (Siri 3) (Siapakah Samiyyah itu?)

Siapakah Samiyyah?

Kenapa Samiyyah?

Dimana Samiyyah?

Tak kenal maka tak cinta..........

PENEMPATAN AWAL ORANG-ORANG SAMIYYAH
Ahli bahasa Arab berpendapat bahawa unsur-unsur yang terdapat dalam bahasa Arab itu banyak menyerupai rumpun bahasa Semit seperti bahasa Aramaik, Kanaanit dan lainnya, namun sebenarnya ia amar sukar untuk dianalisis dan ditentukan secara tepat. Kesukaran ini disebabkan penempatan yang terawal bagi orang-orang Samiyyah masih menjadi perbincangan hangat di kalangan ahli sejarah dan tidak dapat dipastikan dengan tepat hingga ke hari ini. Kebanyakan pengkaji bahasa Arab percaya bahawa orang-orang Samiyyah pemah menetap di semenanjung Arab. Namun  pengkaji-pengkaji bahasa Arab telah berselisih faham mengenai penempatan awal orang-orang Samiyyah. Di bawah ini, disenaraikan huraian antara pandangan ahli-ahli sejarawi Arab mengenai penempatan awal orang-orang Samiyyah dan mereka telah membahagikan penempatan tersebut kepada tujuh kawasan berikut:

a. Penempatan awal bagi orang-orang Samiyyah adalah di tenggara semenanjung Arab, iaitu di negara Yaman. Pendapat ini disokong oleh kedua-dua orang sarjana terkemuka, iaitu Ernest Renan dari Perancis dan Brockelmenn dari Jerman yang sama-sama berpendapat bahawa penempatan awal bagi orang-orang Samiyyah ialah di tenggara semenanjung Arab (Ali Abdul Wahid Wafiy) .

b. Penempatan awal bagi orang-orang Samiyyah adalah di semenanjung Arab. Pendapat inilah yang paling tepat dan logik walaupun telah diketahui umum bahawa sejarah negara Arab agak lewat diketahui berbanding sejarah ketamadunan rumpun-rumpun bahasa Semit yang lain. Pendapat ini telah diutarakan pada tahun 1901 setelah menemui beberapa penemuan sejarah di negara aI-Sus (Hana al-Fakhuriy 1985).

c. Pendapat ketiga berpendapat bahawa penempatan awal bagi orang-orang Samiyyah ialah di selatan negara Iraq (Imil Badi' Ya'qub). Pendapat ini telah disokong oleh Juwaidiy seorang profesor Linguistik Arab yang berpendapat bahawa penempatan awal bagi penduduk Samiyyah ialah di negara Iraq (Tawfiq Muhd. Syahin). Jika diteliti dari beberapa contoh perkataan yang terdapat di dalam bahasa Semit, ia menunjukkan bahawa terdapat beberapa contoh perkataan dalam bahasa ini yang mempunyai unsur-unsur pembangunan, kesuburan tanaman dan ternakan (Imil Badi' Ya'qub). Iraq suatu masa dahulu merupakan sebuah penempatan yang subur dengan pembangunan yang membanggakan. Tetapi Nolendka berpendapat bahawa bukti yang terdapat pada beberapa perkataan yang mempunyai makna yang berkaitandengan alam semula jadi yang terdapat dinegara Iraq itu tidak boleh dijadikan satualasan atau bukti yang kukuh. Ini keranaterdapat banyak perkataan yang lain dalam rumpun bahasa Semit yang tidak dikaitkan dengan alam semula jadi negara Iraq.

d. Pendapat keempat pula berpendapat bahawa negara Kan'an di Syria adalah penempatan awal bagi orang-orang Samiyyah. Mereka mengatakan bahawa orang-orang Samiyyah ini telah menduduki bumi Syria sejak berkurun-kurun lama dahulu.

e. Nolendka, seorang pengkaji bahasa pula berpendapat bahawa penempatan awal bagi orang-orang Samiyyah ialah di Arminiyyah. Penempatan mereka ini terletak di pertengahan benua Asia (Syawqiy Daif 1988). Ini kerana di Arminiyyah terdapat sebuah banjaran yang bernama Ararat dan di banjaran inilah kapal Nabi Nuh a.s telah berlabuh sewaktu berlaku taufan pada beberapa abad yang lampau (Imil Badi' Ya'qub). Selain itu, bumi Arminiyyah ini juga terletak berdekatan dengan sempadan negara Kurdistan (Muhammad al-Antaki).

f. Sebahagian yang lain berpendapat bahawa penempatan awal bagi orang-orang Samiyyah ialah di negara Habasyi atau di utara benua Mrika (Imil Badi' Ya'qub 1986) dan negara Somalia (Syawqiy Daif 1988). Ini memandangkan terdapat pertalian yang kuat antara bahasa Semit dengan rumpun bahasa Rausa (Imil Badi' Ya'qub).

g. Font Cremer berpandangan bahawa penempatan awal orang-orang Samiyyah ialah di Babylon. Ini kerana terdapat beberapa kosa kata bahasa orang-orang Babylon yang berkaitan dengan pertanian yang menyerupai bahasa Semit. Guidy, seorang sarjana Jerman juga menyokong pandangan yang diutarakan oleh Font Cremer. Namun pendapat Guidi berbeza sedikit dengan pendapat Font Cremer. Beliau menyatakan persamaan antara bahasa Babylonia dan Semit bukan sahaja dari sudut pertanian sebagaimana yang didakwa oleh Font Cremer, bahkan ianya mempunyai persamaan dari sudut pembangunan, nama-nama haiwan dan beberapa kosa kata yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan dan alam semula jadi (Qawwad 'Ali 1968).


Dari pandangan-pandangan yang diutarakan di atas, dapatlah dikesimpulakan bahawa walaupun ahli-ahli sejarawi Arab berselisih pendapat mengenai penempatan awal orang-orang Samiyyah di pelbagai kawasan, namun pandangan mereka masih berkisar di sekitar semenanjung tanah Arab. Kebanyakan ahli bahasa Arab juga percaya bahawa penempatan awal orang-orang Samiyyah adalah di semenanjung Arab. Dari kawasan inilah, orangorang Arab telah berpindah ke kawasan lain. Lni kerana tanah semenanjung Arab sebagaimana yang diketahui dipenuhi dengan padang-padang pasir yang kering kontang. Oleh itu, mereka yang tinggal di semenanjung Arab ini sering berpindah demi mencari satu kawasan yang lebih subur terutamanya wadi atau oasis. lnilah juga sifat orang Samiyyah yang sering berpindah dari satu kawasan ke kawasan yang lain.

Sejarah Bahasa Arab (Siri 2)

Assalamualaikum Kawan-kawan.... Meh Kita Sambung Subjek...


Sejarah Asal Bahasa Arab
Bahasa Arab berasal daripada rumpun bahasa Samiyah yang dinisbahkan kepada keturunan Sam anak Nabi Nuh. Mereka terbahagi kepada tiga golongan. Pertama, golongan Bayidah yang terdiri daripada kabilah Cad, Thamad, Tasm, Jadas, Umaym dan Jurhum. Golongan kedua pula ialah Caribah yang dinisbahkan kepada Yacrab bin Qahtan. Seterusnya pula ialah golongan Mustacribah yang berketurunan Nabi Ismail dan mereka menetap di Hijaz pada abad ke-19 sebelum Masihi.
Bahasa Arab merupakan salah satu daripada tiga bahasa utama yang memainkan peranan penting dalam sejarah peradaban manusia. Pengkaji sejarah telah menambah dua lagi bahasa menjadikan kesemuanya lima bahasa utama yang telah memberi sumbangan besar dalam sejarah perkembangan tamadun manusia. Bahasa-bahasa tersebut ialah bahasa Cina Kuno, bahasa Sanskrit, bahasa Latin, bahasa Greek dan bahasa Arab.
Walau bagaimanapun, hanya bahasa Arab yang masih digunakan dan terus berkembang sehingga kini. Berdasarkan kenyataan ini bolehlah dikatakan bahawa bahasa Arab mempunyai ciri-ciri istimewa yang membolehkan ia bertahan. Pengkaji-pengkaji bahasa masih terus berusaha menyelidik potensi bahasa tersebut. Antara ciri-ciri istimewa bahasa Arab ialah ia telah dipilih Allah sebagai bahasa rasmi al-Quran yang merupakan pedoman asas untuk kehidupan di dunia dan di akhirat. Ini dijelaskan dalam surah Yusuf ayat kedua:   

Terjemahan:
Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa al-Quran dengan berbahasa Arab, agar kamu menggunakan akal (untuk memahaminya).

Pemilihan bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran telah memberikan jaminan terhadap keunggulan bahasa itu. Maksudnya, selagi agama Islam atau al-Quran masih wujud di muka bumi, selagi itulah bahasa Arab akan tetap berkembang. Ini dijelaskan dalam surah aI-Hijr ayat sembilan yang bermaksud: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Zikr (al-Quran), dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.
Pemilihan bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran merupakan satu keistimewaan bagi bahasa tersebut kerana ia dapat mengangkat martabat bahasa Arab. Seandainya al-Quran dan hadis bukan dalam bahasa Arab, maka bahasa Arab tidak mempunyai keistimewaan dan kemungkinan besar sudah hilang ditelan zaman seperti bahasa-bahasa kuno yang lain.
Oleh kerana pemilihan bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran dilakukan oleh Yang Maha Mengetahui, maka sudah tentu bahasa itu ada kriteria istimewa yang tidak terdapat dalam bahasa lain. Sehubungan itu satu kajian mendalam tentang ciri-ciri keistimewaan bahasa Arab yang membolehkannya menjadi bahasa pilihan al-Quran dan hadis perlu dilakukan.
Antara peranan bahasa Arab yang penting ialah membantu perkembangan tamadun peradaban kuno yang lain seperti Yunani, Greek, Parsi dan Hindu. Kemudian bahasa Arab tersebar ke Barat pada Zaman Pencerahan (Renaissance) melalui pusat kebudayaan Islam seperti di Baghdad (Iraq), Kaherah (Mesir), Fes (Maghribi) dan Granada (Sepanyol).

Zaman keemasan bahasa Arab bermula pada abad ke-4 hingga abad ke-17. Ketika itu ia digunakan sebagai bahasa ilmu pengetahuan dan teknologi antarabangsa. Pada abad tersebut, ekonomi, politik dan ilmu pengetahuan bangsa Arab yang beragama Islam paling unggul sehingga disebut sebagai pembuka aspirasi kepada semangat zaman moden. 


Ada Lagi tau.... Sat Gi Kami Post.. Post Yang Akan Datang Le..

Sejarah Bahasa Arab (Siri 1)

Adakah anda tahu asal Bahasa Arab? Di sini ingin kami kongsikan salasilah Bahasa Arab... 

Selamat Membaca>>>

Sekiranya disingkap sejarah dan asal-usul bahasa Arab sama ada sebelum atau selepas kedatangan Islam, ternyata bahasa Arab mempunyai persamaan dengan bahasa serumpun dengannya yang dituturkan oleh orang-orang Ibri, Habasyi, Aramiyyah dan selainnya (Rafa'il Nakhlah alYasu'iy 1986:87).

Bahasa Arab merupakan satu-satunya bahasa utama di seluruh dunia Arab iaitu Mesir, Sudan, Libya, Tunisia, Maghribi, Algeria, Arab Saudi dan selainnya. Malah ia merupakan bahasa utama negara-negara bukan Arab seperti Republik Chad di Mrika Tengah dan bahasa minoriti di negara seperti Nigeria, Iran dan Soviet Union (Bernard Comrie 1998:24).

Titik tolak kemajuan dan perkembangan pesat bahasa Arab ini bermula sejak penurunan al-Quran dalam bahasa Arab yang merupakan mukjizat yang paling agung di dunia ini. Justeru itu, bahasa Arab secara tidak langsung menjadi bahasa komunikasi seluruh umat Islam di dunia di samping hadis Rasulullah s.a.w juga diabadikan dalam bahasa Arab. Semua ilmu Islam di peringkat permulaan ditulis dalam bahasa ini dan penyebaran dakwah Islam di seluruh dunia di peringkat awal juga menggunakan bahasa Arab. 


Jumpa Lagi di Siri akan datang......

"TAK KENAL MAKA TAK CINTA"

PROFIL BLOGGER’S

LUQMAN HAKIM BIN HAMDAN (A144978)


ABDUL MUHAIMIN BIN ABDUL SOMAT (A146882)


MUHAMMAD BIN SUA’IBUNAHA (A144981)

Kami (LUQMAN, MUHAMMAD, MUHAIMIN) merupakan pelajar tahun1 semester 2 daripada Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, UKM. Pada semester ini, kami telah mengambil kursus Terjemahan Arab Melayu Arab (PPPJ 1213).Oleh itu, bagi memenuhi syarat penilaian dalam kursus ini kami telah ditugaskan untuk melaksanakan sebuah blog khusus berkaitan Terjemahan Arab Melayu Arab.Oleh itu, Insya-Allah, kami akan berkongsi bersama-sama rakan semua ilmu-ilmu yang boleh membantu kita dalam meningkatkan lagi pengetahuan kita tentang pembelajaran Arab.

OBJEKTIF BLOG KAMI: 
  • *Bagi memenuhi penilaian subjek TAMA PPPJ1213 
  • *Dapat berkongsi dengan semua tentang pengetahuan mengenai subjek Terjemahan Arab Melayu Arab 
  • *Meningkatkan lagi daya penulisan dan menterjemah sesuatu teks. 
  • *Menggunakan teknologi maklumat sebagai sumber berkongsi ilmu pengetahuan dengan cara lebih muda dan pantas.
  • *Menarik minat pembaca untuk mengetahui ilmu berkaitan Bahasa Arab  


Semoga blog ini bermanfaat untuk kalian semua, di samping kita sama-sama dapat mengamalkan dan menyebarkan ilmu yang dipelajari ini kepada orang lain…INSYA-ALLAH…


Di bawah ini adalah gambar-gambar semasa kami berada di dalam kuliah subjek TAMA (PPPJ 1213) pada minggu ke-4.





DR. MAHERAM SEDANG MEMBERI KULIAH BERKAITAN "JENIS DAN KAEDAH TERJEMAHAN"



 RAKAN-RAKAN SEPERJUANGAN YANG TEKUN MENCATAT NOTA KULIAH


ABANG MUHAMMAD BUAT APE TUE DENGAN ABANG SODIQIN









Contoh cerita tauladan seta terjemahan yang baik


ALAT BANTU TERJEMAHAN

ALAT BANTU TERJEMAHAN

KAMUS

DEFINISI KAMUS

- Merupakan sejenis buku rujukan yang menerangkan maksud perkataan, yang berfungsi untuk membantu para pengguna mengenal perkataan baru, mempunyai panduan sebutan, asal sesuatu perkataan. contohnya penggunaan bagi sesuatu perkataan dan ada kalanya terdapat juga ilustrasi untuk menguatkan pemahaman pengguna.

JENIS-JENIS KAMUS

·                     Kamus Ekabahasa : iaitu menggunakan satu bahasa ( kata-kata entri dan penjelasannya yang terdiri daripada bahasa yang sama). Selain itu, penyusunannya dibuat berasakan pembuktian data korpos yakni takrifan makna yang dibuat berdasarkan makna yang diberi dalam contoh ayat. Contohnya Kamus Dewan dan Kamus al Wasit. 

·                     Kamus Dwibahasa : iaitu kamus yang menggunakan dua bahasa yakni kata masukan diberi padanan atau pemerian takrifnya dengan menggunakan bahasa lain seperti Kamus Besar Arab- Melayu Dewan dan Kamus Al -Marbawi.  

·                     Kamus Aneka Bahasa/ Multi Bahasa : ia menggunakan sekurang-kurangnya tiga bahasa. Misalnya : Kamus Melayu- Cina- Inggerisyang menggunakan susunan Yuen Boon Chan (2004). 

·                     Kamus Mini : pada zaman sekarang agak susah ditemui dan dikenali dengan nama kamus saku dan tebalnya kurang daripada 2cm. 

·                     Kamus Kecil : bersaiz kecil dan biasa ditemui serta mudah dibawa. Contohnya : Kamus Dwibahasa Oxford Fajar ( Inggeris- Melayu, Melayu- Inggeris). 

·                     Kamus Besar : saiznya besar dan tidak sesuai dibawa kemana-mana. Biasanya memuatkan segala leksikal yang terdapat dalam satu-satu bahasa, contohnya Kamus Besar Arab-Melayu Dewan. 

KENAPA KAMUS DIPERLUKAN ??

1.            Kamus boleh membantu penterjemah mencari padanan kata yang tidak diketahui.
2.            Ada kalanya penterjemah tidak dapat mencari padanan makna sesuatu kata  daripada kotak memorinya. Oleh itu, dia perlu merujuk kamus.
3.            Berhadapan dengan perkataan yang berkait dengan bahasa linguistik.

4.            Berhadapan dengan perkataan yang berkait dengan budaya dan adat resam.