KEBAIKAN
MENGUASAI PELBAGAI BAHASA
Bahasa
merupakan alat yang digunakan oleh masyarakat untuk berhubung sejak zaman
dahulu lagi. Dalam mendepani era globalisasi ini,kemampuan menguasai dan
berkomunikasi dalam pelbagai bahasa merupakan suatu kelebihan kepada seseorang.
Lantaran itu, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) misalnya, memberikan peluang
kepada para pelajar untuk mempelajari
lima bahasa antarabangsa iaitu, bahasa Peranchis, Jerman, Jepun, Cina dan Arab
melalui pembelajaran bahasa antarabangsa. Tanpa kemampuan dan kemahiran
bertutur dalam pelbagai bahasa, agak sukar seseorang untuk berkomunikasi
khususnya dengan individu yang berlainan bangsa. Oleh itu, banyak kepentingan
akan diperoleh oleh seseorang dengan menguasai pelbagai bahasa lain selain
bahasa ibunda.
Kebaikan pertama menguasai pelbagai bahasa ialah seseorang lebih
mudah untuk berhubung atau berkomunikasi dengan orang lain. Hal ini demikian
kerana seseorang akan lebih berkeyakinan untuk bersemuka dengan sesiapa sahaja.
Sebagai contoh, dengan menguasai bahasa Inggeris, seseorang boleh memberitahu
tempat-tempat menarik serta keistimewaan yang terdapat di negara kita kepada
pelancong yang datang ke negara kita.
Faedah daripada itu, para pelancong berasa lebih dihargai malah akan lebih tertarik untuk berkunjung ke
negara kita. Seseorang juga akan lebih memahami psikologi serta penutur jati
individu tertentu. Sebaliknya, tanpa menguasai pelbagai bahasa seseorang sukar
untuk menolong walaupun masih mempunyai niat untuk membantu. Impak daripada
itu, para pelancong akan berfikiran negatif dan berkemungkinan menganggap kita
tidak peramah dan bersikap sombong. Jelas bahawa, dengan menguasai pelbagai
kita mudah berkomunikasi dengan lebih berkesan untuk bertukar fikiran serta
maklumat antara satu sama lain.
Selain itu, dengan menguasai pelbagai bahasa seseorang lebih mudah
untuk memperoleh ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana pelbagai ilmu
pengetahuan yang terdapat di dunia ini ditulis dalam pelbagai bahasa, khususnya
bahasa Inggeris yang menjadi bahasa utama dunia. Dengan memperoleh pelbagai
ilmu pengetahuan seseorang akan lebih dihormati, dipandang tinggi serta tidak
dianggap bagai katak di bawah tempurung. Sebagai contoh, untuk meningkatkan
pengetahuan dalam bidang agama Islam seseorang wajib menguasai bahasa Arab yang
merupakan bahasa kitab suci Al-Quran. Sementara itu, bagi golongan pelajar
mereka lebih mudah untuk membuat rujukan sama ada melalui buku-buku atau
Internet. Kemahiran menguasai bahasa Inggeris misalnya, sering kali menjadi
halangan kepada pelajar Bumiputera di pusat pengajian tinggi untuk menghasilkan
kajian serta bahan ilmiah yang berkualiti. Tegasnya, memiliki kemahiran bahasa
Inggeris yang baik sama ada mendengar, bercakap, membaca atau menulis adalah
amat perlu sejajar dengan usaha kerajaan Malaysia membangunkan modal insan di
negara ini.
Seterusnya, seseorang lebih mudah untuk melanjutkan pelajaran ke
peringkat yang lebih tinggi, baik di pusat pengajian tinggi awam atau swasta.
Tambahan lagi kemampuan menguasai dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa
menjadi semakin penting sekiranya seseorang hendak melanjutkan pelajaran ke
luar negara. Hal ini demikian kerana hampir semua pusat pengajian tinggi
menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan
pembelajaran kerana kekuatannya sebagai bahasa komunikasi masyarakat dunia. Hal
ini dikukuhkan lagi apabila seseorang ingin melanjutkan pelajaran di
negara-negara maju seperti Jepun dan Peranchis yang menggunakan bahasa ibunda
mereka sendiri sebagai bahasa pengantar utama. Tamsilnya, untuk melanjutkan
pelajaran di negeri matahari terbit, Jepun pelajar perlulah mengikuti kurusus
untuk menguasai bahasa Jepun terlebih dahulu sebagai pakej untuk terpilih untuk
mengikuti pengajian di sana. Jelas terbukti bahawa penguasaan pelbagai bahasa
memberikan kemudahan kepada setiap orang untuk melanjutkan pelajaran ke
peringkat yang lebih tinggi di samping mudah untuk memahami budaya dan gaya
hidup sesuatu masyarakat yang ditemui.
Akhir sekali, tidak dapat dinafikan bahawa dengan menguasai
pelbagai bahasa seseorang lebih mudah untuk memperoleh peluang pekerjaan. Hal
ini disebabkan seseorang pekerja yang berkemahiran bertutur dalam pelbagai
bahasa dianggap mempunyai banyak kelebihan serta keistimewaan kerana mampu
bertutur dengan pelbagai pihak. Sebagai contoh, di Malaysia seseorang yang
boleh bertutur dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Mandarin memiliki
ciri-ciri pekerja yang digemari dan disukai majikan kerana masyarakat majmuk
yang terdapat di negara kita. Di samping itu, dengan menguasai pelbagai bahasa
membolehkan seseorang itu, menceburkan diri dalam bidang penterjemahan atau
jurubahasa dalam bidang kehakiman dan juga sektor pelancongan. Bidang
terjemahan dikatakan mempunyai masa depan yang cerah kerana mempunyai
permintaan yang tinggi. Begitu juga
dalam bidang pelancongan yang amat memerlukan khidmat pemandu pelancong asing
yang boleh menguasai bahasa asing. Sesungguhnya, penguasaan pelbagai bahasa dan
kemahiran berkomunikasi menjadi suatu kriteria dan pertimbangan utama majikan
dalam memilih ciri pekerja yang berkualiti.
Intihanya, langkah Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan
subjek bahasa tambahan di peringkat sekolah perlulah dipuji bagi memperkasakan
lagi modal insan yang bakal dilahirkan. Oleh itu, semua pihak khususnya ibu
bapa bukan sahaja perlu menerimanya secara positif malahan memberikan sokongan
tanpa wujud perasaan berbelah bahagi. Semua individu khususnya golongan pelajar
perlulah merebut peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan kerana kemahiran
bertutur dalam pelbagai bahasa akan memberikan nilai tambah sekali gus
menyediakan masyarakat yang mampu duduk sama rendah berdiri sama tinggi untuk
bersaing di peringkat global. Justeru, tepuk dada tanya selera, adakah kita ingin
menjadi individu yang hanya memahami bahasa ibunda atau mampu menguasai
pelbagai bahasa yang pastinya memberikan kelebihan kepada kita kelak.
No comments:
Post a Comment