Pentingkah???
Secara
am penduduk di negara ini mampu berbahasa lebih daripada satu bahasa yakni
bahasa ibunda mereka sama ada bahasa Mandarin, Melayu, Tamil, Inggeris dan Arab.
Namun masih ada segelintir pihak yang menganggap penguasaan bahasa lain sebagai
satu tindakan yang mampu mengikis penggunaan bahasa kebangsaan kita terutama
bahasa Melayu. Pelbagai komen telah diberikan oleh golongan ini menerusi media
massa sehingga menjadikan isu ini satu perbualan hangat. Sebenarnya, penguasaan
bahasa lain dalam kehidupan seseorang itu mampu menjadikan diri mereka lebih
baik lagi kerana jauhari juga yang mengenal manikam.
Kelebihan
utama yang diterima oleh individu yang mahir lebih daripada satu bahasa ialah
mereka lebih mudah untuk memperoleh sesuatu pekerjaan itu. Dalam dunia yang
penuh persaingan ini mereka yang mempunyai kelebihan daripada aspek bahasa ini
memiliki kelebihan yang diimpikan oleh banyak majikan kerana urusan perniagaan
mengatasi batas-batas bahasa dan negara. Majikan lebih mudah menerima individu
yang tahu berbahasa asing kerana mereka boleh digunakan untuk menguruskan
urusan perniagaan syarikat yang melibatkan penggunaan bahasa asing tersebut.
Oleh itu, berbahasa lebih daripada satu memudahkan seseorang itu memperoleh
kerja dalam dunia moden ini.
Bukan
sahaja mampu memperoleh kerja dengan mudah tetapi mereka yang mampu berbahasa
asing juga memiliki kendiri diri yang lebih kukuh atau mantap. Keyakinan diri
mereka bertambah-tambah kerana sedar mereka memiliki kelebihan yang jarang
dimiliki oleh mana-mana individu pun. Keserlahan kelebihan inilah yang
menjadikan mereka lebih yakin dalam menjalankan sesuatu urusan baik yang
berunsur profesional mahupun peribadi. Sesungguhnya, mereka yang mampu berbahasa
asing ini memiliki keperibadian yang lebih menarik kerana tahap keyakinan diri
mereka begitu tinggi.
Malah,
mereka yang menguasai bahasa asing mampu meningkatkan tahap informasi mereka
terutama dalam bidang-bidang yang baru di sesebuah negara itu. Biasanya sesuatu
maklumat atau buku tentang sesuatu bidang itu ditulis dalam bahasa asing
terutamanya bahasa Arab dan Inggeris kerana bahasa itu dianggap bahasa
pendidikan dunia.
Mereka
yang tahu berbahasa Arab dan Inggeris sudah pasti mampu mengetahui sesuatu
maklumat itu lebih awal kerana proses terjemahan bahan tersebut ke bahasa
ibunda mungkin mengambil sedikit masa. Jadi, kelebihan berbahasa asing
menjadikan pengetahuan informasi seseorang itu lebih baik berbanding individu yang
hanya mengetahui satu bahasa sahaja.
Malahan,
mereka yang menguasai bahasa asing turut menjadikan diri mereka lebih mudah
untuk meneroka pelbagai prospek dalam kehidupan mereka. Maksudnya, mereka yang
mengetahui bahasa asing boleh menggunakan kelebihan bahasa itu di dalam
negaranya sendiri atau berhijrah ke negara bahasa asing itu tanpa mempunyaisebarang
kerumitan hidup. Kelebihan menguasai bahasa asing menjadikan diri seseorang itu
lebih “terbuka” kepada sebarang perubahan lalu menjadikan mereka lebih berdaya
saing dalam menghadapi sebarang masalah yang berlaku berbeza jika mereka hanya
mengetahui bahasa ibunda sahaja. Sesungguhnya, penguasaan bahasa asing
memberikan kepelbagaian warna kepada kehidupan seseorang itu lalu mampu meneroka
sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh mereka yang hanya memiliki kemahiran
satu bahasa.
Kesimpulannya,
penguasaan bahasa asing membawa pelbagai impak positif kepada seseorang itu
terutama golongan remaja. Kita hendaklah memberikan sokongan dan galakan agar
ahli masyarakat kita memandang kemampuan menguasai bahasa asing ini sesuatu yang
unik dan bukannya sesuatu yang membebankan. Kalau semua ahli masyarakat kita
mengetahui pelbagai bahasa sudah pasti imej negara ini akan bertambah tinggi
pada mata masyarakat luar. Seperti kata orang tua, bahasa melambangkan budaya
masyarakat itu.
No comments:
Post a Comment