Sunday, 15 June 2014

Potensi Penterjemah

Assalamualaikun buat sahabat-sahabat yang sudi menjelajah blog kami. Entri kali ini berkisar tentang potensi seorang penterjemah. Di sini kami lampirkan keratan akhbar hasil temubual dengan Jurina Pieei iaitu seorang Penyelaras Bahagian Terjemahan di Institut Terjemahan Negara Malaysia. Tingginya Nilai Seorang Penterjemah ini trademark kami untuk post La Ni (sekarang)...

Potensi Penterjemah
16 Sep 2010 - Berita Harian
Oleh Khairina Yasin

Kerjaya penterjemah kini semakin penting dan amat diperlukan dalam pelbagai bidang berikutan kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi masa kini. Sama ada istilah saintifik, teknologi, kesusasteraan, bahasa atau perdagangan, tugas penterjemah diperlukan dalam semua bidang terbabit yang mana pengetahuan dan kelulusan pelbagai bahasa menjadi modal penting bagi memasuki kerjaya itu.

     Hakikat itu diakui penterjemah, Jurina Pieei yang mendedahkan antara cabaran sebagai penterjemah ialah mereka perlu berani mencabar diri sendiri untuk mendapatkan makna dan ayat paling tepat untuk tatapan pembaca.Katanya, penterjemah juga perlu menguasai kedua-dua bahasa yang diterjemah iaitu bahasa sumber dan bahasa terjemahan (bahasa sasaran).

     “Maknanya, jika kita mahu menterjemah karya sastera bahasa Inggeris ke bahasa Korea, kita perlu pakar dalam kedua-dua bahasa itu. Setiap teks yang ingin diterjemah perlu dibaca dan dibuat analisis teks terlebih dulu termasuk memahami gaya bahasa dan konsep, perkataan sukar sebelum kerja terjemahan bermula".

     “Sebaiknya kerja penyelidikan dilakukan jika terdapat perkataan yang sukar difahami atau ada sebarang penggunaan peribahasa yang memerlukan kita mencari padanan yang terbaik demi memastikan maksud karya asal dapat disampaikan,” katanya.Jurina yang juga Penyelaras Bahagian Terjemahan di Institut Terjemahan Negara Malaysia berkata, penterjemah bukan saja perlu menguasai ilmu, tetapi disokong oleh minat kerana terjemahan memerlukan sikap dedikasi tinggi untuk mengkaji teks dengan teliti serta cermat.
Selain kelebihan menguasai bahasa, bidang itu mampu menghasilkan pulangan lumayan kerana terjemahan tidak terhad kepada karya ilmu, malah boleh dikembangkan untuk industri lain seperti penyiaran dan undang-undang.“Penterjemah boleh meneroka penterjemahan dokumen undang-undang, perniagaan, laman web, program penyiaran selain menjadi jurubahasa bagi persidangan pelbagai bahasa atau pengiring perniagaan diplomatik,” katanya.

     Menceritakan mengenai bidang penterjemahan di Malaysia, Jurina berkata, tidak keterlaluan jika dikatakan bidang itu masih kurang mendapat perhatian sedangkan terjemahan memberi impak besar.Katanya, kebanyakan penterjemah menjadikannya sebagai kerja sampingan berbanding meletakkannya sebagai profesion penuh.Bagaimanapun, beliau yakin dengan perkembangan kerjaya itu pada masa depan apabila wujud institusi pengajian tinggi menawarkan program penterjemahan yang mampu melahirkan kumpulan penterjemah hebat suatu masa nanti.Mengenai risiko dalam penterjemahan, Jurina kata, terdapat sesetengah karya terjemahan gagal mendapat sambutan atau menarik minat pembaca kerana kegagalan penterjemah sendiri menghasilkan yang terbaik atau mereka ingin menghabiskan kerja dengan cepat dan membuat tuntutan.

No comments:

Post a Comment