Sejarah Bahasa Arab di Kepulauan
Melayu
TARIKH kedatangan
bahasa Arab ke kepulauan Melayu secara umum dan ke Malaysia secara khusus masih
belum dapat dipastikan dengan tepat. Walau bagaimanapun, oleh kerana bahasa
Arab adalah bahasa al-Quran dan al-Hadis yang menjadi sumber perundangan Islam,
tarikh kedatangannya tidaklah sukar ditentukan jika ia dihubungkaitkan dengan
tarikh kedatangan Islam.Kedatangan Islam bermakna kedatangan bahasa Arab kerana
kedua-duanya tidak dapat dipisahkan. Bahkan kedua-duanya saling melengkapi
antara satu sama lain. Islam tidak akan dapat disebarkan tanpa bahasa Arab
sebagai perantaraan. Tanpa Islam sebagai isi kandungan, bahasa Arab
berkemungkinan besar tidak membawa apa-apa erti dan tidak akan berkembang
seperti sekarang.
Sebenarnya,
pelbagai teori kedatangan Islam ke alam Melayu telah dikemukakan dan
dibincangkan secara panjang lebar oleh sarjana tempatan dan sarjana Barat.
Perbezaan antara teori tersebut adalah berkaitan dengan tarikh, daerah dan
faktor kedatangannya.Secara umumnya terdapat tiga teori utama tentang bagaimana
cara kedatangan Islam dan tarikhnya iaitu sama ada melalui pedagang dan
mubaligh Arab atau pedagang India atau pedagang Cina.
Fatimi
S.Q. berpendapat kedatangan Islam ke Tanah Melayu adalah secara berperingkat-peringkat.
Hubungan paling awal ini dianggarkan bermula pada tahun 671 Masihi iaitu pada
abad ke-7 Masehi.Hamka pula menyatakan bahawa ahli sejarah Sir Thomas Arnold
mengandaikan kedatangan Islam ke Tanah Melayu adalah pada abad pertama Hijrah
berdasarkan wujud hubungan perdagangan antara saudagar-saudagar Arab dengan
Kanton dan Ceylon.
Sacad
Syukri pada tahun 1971 berpendapat bahawa Islam telah bertapak di kepulauan
Melayu sebelum tahun 1188 yang bersamaan tahun 577 Hijrah. Ini berikutan
penemuan wang siling dalam bentuk tulisan al-Mutawakkil dan al-Julus Kelantan
pada tahun tersebut yang menunjukkan bahawa pemerintahan Islam telah wujud di
bawah kepimpinan al-Mutawakkil. Menurut Wan Husain Azmi, orang Arab telah
mengenali Tanah Melayu sejak zaman kerajaan Bani Umayyah (dari tahun 661
sehingga tahun 679, iaitu pada zaman pemerintahan Muawiyyah Abi Sufyan).
Kerajaan Bani Umayyah dikatakan telah merancang untuk menghantar armadanya ke
Tanah Melayu pada tahun 674.
Namun
rancangan tersebut terpaksa dibatalkan apabila mengetahui Tanah Melayu
diperintah oleh raja yang adil. Walau bagaimanapun rombongan perdagangan Arab
telah datang ke Tanah Melayu dan membuat hubungan dengan orang Melayu pada
kurun ke-7 iaitu pada 674 kerana sudah terjalinnya hubungan perniagaan orang
Arab dengan orang China dan orang India. Sehubungan itu terdapat kemungkinan
bahawa perkataan 'Melaka' adalah berasal daripada perkataan Arab iaitu 'Mulq?'
atau 'Multaq?' yang bermakna tempat pertemuan. Ada ahli sejarah lain pula
menyatakan pendapat yang paling berasas iaitu melalui pedagang Arab secara
langsung semenjak kurun pertama hijrah lagi iaitu sekitar abad ke-7 dan ke-8.
Pandangan beliau disokong oleh sarjana tempatan yang telah menetapkan tarikh
kedatangannya pada sekitar abad ke-7, 8 dan ke-9.
Namun
kebanyakan sarjana Barat lebih cenderung melewatkan tarikh kedatangan tersebut,
iaitu pada abad ke-13 berdasarkan catatan Dinasti Yuan di China dan laporan
pengembaraan Marco Polo. Antara sarjana Barat tersebut ialah D.G. Hall yang
mengandaikan kedatangan tersebut adalah pada abad ke-15.Dalam konteks Tanah
Melayu, seperti halnya dengan peringkat lain alam Melayu, sarjana tempatan dan
sarjana Barat telah memberikan tarikh yang jauh berbeza. Menurut Syed Muhammad
Naguib al-Attas, tarikh yang tercatat pada batu bersurat di Kuala Berang,
Terengganu, iaitu 4 Rejab 702 Hijrah yang bersamaan dengan 22 Februari 1303
menjadi bukti kedatangan Islam ke Tanah Melayu adalah pada abad ke-14 atau
lebih awal daripada itu.
Seterusnya
Abdul Rahman Abdullah pada 1990 berpendapat Islam sampai ke Tanah Melayu pada
tahun 30 Hijrah iaitu pada zaman Khalifah Uthman Affan (644-656 Masihi). Berdasarkan perbincangan di atas, perbezaan
pendapat hanyalah berkisar tentang tarikh, daerah dan faktor kedatangan Islam.
Suatu hal yang pasti ialah kedatangan Islam ke kepulauan Melayu bermakna
kedatangan bahasa Arab ke kepulauan Melayu dan penerimaan Islam oleh orang
Melayu bermakna penerimaan istilah-istilah bahasa Arab telah diterima pakai
oleh orang Melayu.Masyarakat Melayu ketika itu secara umumnya mudah menerima
istilah-istilah Arab dalam kehidupan seharian mereka. Sehubungan itu kita
berasa yakin untuk menggunakan faktor ini sebagai asas kukuh dalam pembelajaran
bahasa Arab di Malaysia.
Secara
teorinya, jika perbendaharaan kata dan istilah Arab mudah diterima, diguna
pakai dan dijadikan sebagai sebahagian daripada bahasa Melayu sejak berzaman
maka sudah tentu masyarakat Melayu sekarang ini mudah untuk mengikuti
pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab.
TeNtaNgSeJaRAh....NiyAnGTerakhIr..SAlaM.
No comments:
Post a Comment